Rabu, 31 Mei 2017

HI-TEA SEMPENA HARI GURU 2017

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Setelah bergembira di sebelah pagi dalam meraikan sambutan hari guru peringkat sekolah, semua guru hadir pula ke jamuan sempena Hari Guru yang mana tujuan lainnya adalah bagi meraikan perpindahan keluar Penolong Kanan 1, iaitu Cikgu Khaire bin Md Zen dan juga perpindahan masuk menggantikan beliau oleh Cikgu Husni bin Harun di Sungai Besar. Selain itu juga, majlis ini turut meraikan perpisahan guru praktikum prasekolah.


Majlis telah bermula pada pukul 3.30 petang. Majlis telah dimulakan dengan mendengar ucapan tetamu yang dirai dan juga slot pertukaran hadiah di antara warga guru. Kami mendoakan agar Cikgu Khaire terus cemerlang dalam menjalankan tugas barunya di SK Tanjung Jawa sebagai guru besar di sana. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan terakhir oleh guru praktikum prasekolah. Semoga pertemuan dan perpisahan kita diberkati dan diredhai oleh Allah.


Menu utama pada hari ini adalah nasi kerabu. Alhamdulillah, jamuan yang disediakan sangat menyelerakan dan mengembirakan semua pihak.

Sambutan Hari Guru di SKTDI 2017

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Tanggal 16 Mei 2017 adalah merupakan satu tarikh yang ditunggu-tunggu oleh warga pendidik dan warga sekolah. Mana tidaknya, tarikh keramat inilah merupakan hari bagi meraikan guru di seluruh Malaysia dan kami, warga SKTDI tidak turut ketinggalan dalam meraikan hari yang bermakna ini.


Kelab Guru dan Staf (BAKES) telah merancang aktiviti yang bersesuai dengan sambutan Hari Guru pada tahun ini. Pada waktu pagi, kami mulakan majlis dengan bacaan surah Yassin dan doa kepada Allah agar majlis pada tahun ini diberkati dan diredhai olehNya. Selepas itu, bacaan perutusan oleh Guru Penolong kanan dan juga nyanyian "Kami Guru Malaysia". Dewan bergema dengan nyanyian dan ikrar guru-guru.


Selepas itu, aktiviti diteruskan lagi dengan aktiviti sukaneka di gelanggang sekolah. Guru dan staf dibahagikan kepada 6 kumpulan bagi mengambil bahagian dalam pertandingan Boling Bola Ragbi. Setiap orang hanya dibenarkan untuk membuat satu balingan bagi menjatuhkan kesemua botol air yang juga merupakan markah bagi setiap kumpulan. Alhamdulillah, semua terhibur dan gembira.


Selepas rehat, setiap kumpulan guru akan menaiki pentas untuk memperagakan pakaian kembar yang juga merupakan tema hari guru SKTDI pada tahun ini. Aktiviti kemuncak sambutan pada hari tersebut adalah persembahan setiap kumpulan. Bermacam jenis persembahan dipersembahkan pada hari itu. Semua guru dan murid bergembira.



Jom lihat gambar sambutan kami di sini :


Selasa, 23 Mei 2017

KOLABORASI FROG VLE BERSAMA SK PARIT 4, SG HAJI DORANI

Assalamualaikum dan salam sejahtera.



Pada 12 Mei yang lalu, satu kolaborasi Frog VLE telah diadakan di antara Sekolah Kebangsaan Tun Doktor Ismail bersama SK Parit 4, Sg Haji Dorani. Pertemuan ini adalah untuk berkongsi amalan terbaik yang telah kami jalankan di sekolah dalam membudayakan VLE kepada semua warga sekolah terutamanya murid-murid. Seramai 2 orang guru dan 10 orang murid telah datang melawat ke makmal sekolah kami.




Lawatan ini telah diketuai oleh Ustaz Syarqawi sebagai Guru Penyelaras Bestari bersama rakannya iaitu Cikgu Wan. Slot pertama dimulakan dengan sesi ice breaking murid-murid. Setiap murid diberikan sekeping penanda buku khas dari SKTDI. Apabila selesai mengisi maklumat yang diminta, murid-murid ini akan bertukar penanda buku tersebut dengan rakan barunya. Jadi, di sinilah wujudnya perkenalan di antara dua buah sekolah. Mereka akan duduk bersama rakan baru sehingga majlis ini tamat.




Slot kedua diteruskan dengan pembentangan amalan terbaik VLE yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Afiq bin Mohd Yusof sebagai Guru Admin VLE. Setelah selesai sesi pembentangan, murid akan menjalani sesi praktikal sambil dibantu oleh murid SKTDI mengenal platform VLE. Murid akan diajar cara membuka laman pembelajaran sekolah dan pengenalan kepada Frogplay dan Avatar. Murid-murid sangat teruja dengan Avatar.

Mereka seterusnya diajak pula menjawab kuiz FrogPlay, menjawab kuiz sambil bermain dengan menyahkunci permainan yang mereka sukai. Slot seterusnya pula adalah aplikasi abad ke 21. Murid diajak untuk menyertai Kahoot, Quizizz dan Plickers. Keterujaan murid kemuncak apabila suasana sunyi kerana malu dengan rakan baru telah bertukar. Murid-murid bebas berinteraksi dengan rakan baru masing-masing. Inilah yang dinamakan sebagai Frog VLE membantu komunikasi kanak-kanak.



Majlis ditamatkan dengan pertukaran sijil kolaborasi sebagai tanda perhargaan kedua-dua belah pihak bagi menjayakan majlis pada hari tersebut. Semoga SK Parit 4 beroleh sesuatu yang bermakna dan seterusnya dapat mengaplikasikan ilmu ini di sekolah nanti. Insyallah.