Isnin, 28 Mei 2018

JEMPUTAN MAJLIS JAMUAN TAUTAN UKHWAH 2018

Assalamualaikum dan salam sejahtera.



Pada 30 Jun 2018 bersamaan dengan hari Sabtu, Sekolah Kebangsaan Tun Doktor Ismail adalah dengan berbesar hati menjemput rakan pembaca sekalian ke Majlis Jamuan Malam Tautan Ukhwah 2018 yang akan diadakan selepas perayaan sambutan Hari Raya Aidilfitri di padang sekolah.

Apakah tujuan utama majlis ini?
Objektif utama diadakan majlis ini adalah untuk mengumpul dana yang besar untuk menampung kekurangan yang dihadapi oleh pihak sekolah dalam mentadbir urus infrastruktur sekolah yang semakin uzur. Oleh itu, dengan adanya dana yang dikumpulkan hasil daripada sumbangan pembelian kupon yang bertemakan "Menjamu Sambil Beramal" diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu pihak sekolah. Sumbangan tuan-tuan dan puan-puan disalurkan kepada sekolah dan tidaklah digunakan kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Apakah perkara yang menarik dalam majlis jamuan kali ini?
Keistimewaan majlis pada kali ini adalah tetamu akan dihidangkan dengan 10 jenis menu makanan tempatan. Selain daripada itu, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan khas daripada kumpulan Angklung dan juga persembahan murid SK Tun Doktor Ismail sendiri. Acara kemuncak kepada majlis ini adalah cabutan bertuah yang banyak disediakan untuk diberikan kepada pengunjung yang bertuah.

Bagaimana cara untuk menyertai majlis ini?
Pengunjung boleh mendapatkan kupon daripada pihak urusetia bahagian kupon : Sila hubungi

Pn Joharibah -    019 246 8038
Pn. Norazlina -   019 - 225 7254

Sila hubungi urusetia secara panggilan telefon, Whatapps dan juga media sosial yang lain. Seandainya anda buntu dan menghadapi masalah, sila lawati Facebook Rasmi SKTDI dan seterusnya tinggalkan mesej untuk perhatian pihak kami.

Kupon yang manakah perlu saya beli?
Kami mempunyai tiga jenis kupon untuk dijual kepada anda semua. Butiran kupon adalah seperti berikut:

Kupon RM10 : Kupon ini adalah untuk golongan murid Prasekolah sehingga pelajar tingkatan 6 yang masih tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Kupon RM30 : Kupon ini adalah untuk golongan bekas murid SKTDI yang telah bekerja. Kupon jenis ini sesuai untuk bekas Alumni SKTDI yang mempunyai pekerjaan dan kewangan sendiri.

Kupon RM40 : Kupon jenis ini adalah khas untuk ibu dan bapa murid SKTDI yang masih bersekolah di sini. Jika Ibu bapa ini ingin membawa anak-anak di atas 4 tahun, anda boleh dapatkan kupon tambahan untuk anak dengan harga RM10 bagi setiap orang.

Harga kupon ini telah dipersetuju di antara pihak sekolah dan juga pihak PIBG. Tuan/puan perlu ingat bahawa kupon yang dijual ini bertujuan untuk mengumpul dana untuk disalurkan kepada pihak sekolah unuk program kecemerlangan sekolah.

Mari Mari! Jangan lepaskan peluang anda.
Inilah masanya untuk bertemu rakan-rakan lama bekas murid SK Tun Doktor Ismail.
Dengan suasana raya Aidilfitri pada tahun ini sudah tentulah dapat mengimbau sedikit sebanyak nostalgia suka duka anda di sini.


Rabu, 2 Mei 2018

29.04.2018 : KEJOHANAN SUKAN TAHUNAN SEKOLAH KALI KE-40

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Pada 24 April yang lalu, SKTDI telah pun mengadakan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah kali ke-40 yang berlangsung di padang sekolah. Semua guru, murid dan ibu bapa dijempurt bagi menjayakan majlis ini.

Tujuan sukan sekolah dijalankan adalah tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memberi peluang kepad murid untuk terus menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan secara positif seterusnya merealisasikan dasar pendidikan iaitu 1Murid 1Sukan (1M1S).

Dunia pendidikan di Malaysia telah pun berubah semenjak KSSR dilaksanakan. Maka, akademik bukanlah menjadi kayu pengukur kepada kejayaan dan kemenjadian seseorang murid. Maka, bidang kokurikulum dan potensi murid dalam bidang ini turut diukur dalam menjadi pentaksiran sekolah.




Keistimewaan kejohanan sukan pada tahun ini, majlis perasmian penutup telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato' Hj. Fasiah bin Hj. Mohd Fakeh, Exco Pendidikan Negeri Selangor Kerajaan Persekutuan Malaysia. Terima kasih kepada Dato' kerana sudi berkunjung ke majlis kami bagi menyempurnakan majlis perasmian ini.







Untuk pengetahuan pembaca, sebanyak 37 acara yang dipertandingkan dalam kejohanan sukan pada tahun ini. 11 daripadanya telah pun dijalankan sebelum hari kejohanan seperti acara lompat jauh, lontar peluru dan lain-lain lagi. Manakalah pada hari sebenar, 26 acara seterusnya dipertandingkan. Tahniah kepada pemenang!

Pada tahun ini, tema rasmi yang digunakan dan dipersetujui bersama adalah bertemakan robotik dan ICT. Dalam kejohanan pada tahun ini, rumah Merah telah membawakan maskot utama mereka iaitu Super Wing, manakala rumah Kuning turut tidak ketinggalan mempamerkan maskot yang dikenali sebagai BumbleBee dan rumah Biru pula mempamerkan maskot rekaan kreatif sendiri. Semuanya hebat dan mentap belaka!

Keputusan rasmi telah disahkan. Rumah sukan yang memperoleh mata tertinggi adalah rumah Merah, diikuti oleh rumah Kuning dan rumah Biru. Tahniah kepad pemenang. Tahun depan cuba lagi.






24.04.2018 : ALIA NATASHA JOHAN KATEGORI BERCERITA PPKI 2018 SABAK BERNAM

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


PPKI merupakan singkatan kepada Program Pendidikan Khas Integrasi. Warga SKTDI tidak sesekali meminggirkan anak-anak murid daripada PPKI. Pada 24 April yang lalu, telah berlangsungnya Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Daerah Sabak Bernam di Pusat Kecemerlangan Kokurikulum daerah. Pertandingan yang disertai oleh anak-anak ini di antaranya adalah pertandingan khat, hafazan surah Al-Quran, laungan Azan Subuh dan juga bercerita.

Syukur kepada Allah.
Peserta muslimah PPKI SKTDI iaitu adik Aliya Natasha telah berjaya merangkul tempat pertama bagi kategori bercerita seterusnya berjaya menjadi wakil yang akan bertanding di peringkat negeri mewakili daerah Sabak Bernam. Untuk pengetahuan semua, kisah yang berjaya menambat hati hakim dan juri yang dibawa oleh Adik Aliya Natasha adalah bertajuk Kisah Kelahiran Rasulallah. Kisahnya sangat menyentuh hati.

Kami warga SKTDI mengucapkan tahniah dan syabas kepada Adik Alia Natasha dan juga warga PPKI atas kejayaan yang diperoleh pada tahun ini. Semoga kejayaan ini dapat dikekalkan.









23.04.2018 : TEMPAT KETIGA FUTSAL PRASEKOLAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera.



Cilik dan lincah. Itulah kami!

Inilah kebanggaan kami di Sekolah Kebangsaan Tun Doktor Ismail. Selain melahirkan pelajar cilik pintar dalam akademik, sistem pendidikan di Malaysia terutamanya Prasekolah tidak lupa pada kecerdasan fizikal dan bakat anak-anak ini. 


Pada 23 April yang lalu, Prasekolah Sk Tun Doktor Ismail telah menghantar wakil ke Karnival Futsal dan Bola Jaring Prasekolah daerah Sabak Bernam. Karnival ini telah dijalankan di kawasan pekan Sabak Bernam dan telah disertai oleh semua prasekolah di Parlimen Sabak Bernam.

Alhamdulillah. Anak cilik SKTDI telah bersaing dan berjaya menempatkan diri dalam kalangan yang terbaik. Muhammad Danish bin Muhd Hafiez telah berjaya mendapat tempat ketiga kategori futsal sempena Karnival Futsal & Bola Jaring Prasekolah Daerah Sabak Bernam.

Tahniah kepada guru Prasekolah SKTDI iaitu Pn Azian binti Abu Bakar dan juga pembantunya iaitu Pn Hazliza binti Zabidi kerana berjaya merangkul kejuaraan pada tahun ini.




Rabu, 25 April 2018

16.04.2018: PELANCARAN KEM MEMBACA 1MALAYSIA 2018

Assalamualaikum dan salam sejahtera.



Pada 16 April yang lalu, bagi menyemai sikap suka membaca dalam kalangan murid, jawatankuasa sekolah telah menjalankan pelancaran Kem Membaca 1Malaysia bagi peringkat Sekolah Kebangsaan tun Doktor Ismail.

Kem Membaca 1Malaysia merupakan satu aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang bertujuan untuk mengukuhkan budaya membaca dan menanam semangat cinta akan ilmu melalui pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan pembacaan dalam kalangan murid. Kem ini juga bertujuan untuk membina tabiat membaca dalam kalangan murid.

Mari kita kenali salah seorang daripada warga sekolah yang memberikan sumbangan kepada sekolah. Orang yang dimaksudkan adalah Puan Rohani binti Abdul Samad. Beliau merupakan Guru Media dan Perpustakaan yang bertanggungjawab memupuk budaya membaca dalam kalangan murid.

Selasa, 17 April 2018

14.04.2018 : KEM BIJAK SIFIR 2018

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada 14 April yang lalu, satu program kecemerlangan tahun 6 yang dikelolakan bersama antara guru tahun 6 dan guru panitia matematik telah dijalankan di dewan Sekolah Kebangsaan Tun Doktor Ismail. Program yang dimaksudkan adalah Kem Bijak Sifir 2018.

Seramai 10 orang fasilitator dan 71 orang murid terlibat dalam kem ini. Objektif kem ini adalah bertujuan untuk memberi pemulihan dan pengukuhan sifir kepada murid-murid. Sebagaimana yang kita maklum, sifir merupakan masalah utama bagi setiap sekolah dan masalah ini perlu diatasi dengan pelbagai cara dan diantara caranya ialah melalui kem bijak sifir ini.

Murid mempelajari dan mengingat sifir melalui cara bermain dan beriadah. Murid duduk bersama dalam kumpulan dan menghafal sifir pada permulaan kem ini. Selepas itu, murid akan melakukan dua lagi aktiviti kem iaitu Kod Sifir Rahsia dan Sifir Bingo!. Alhamdulillah, kehadiran murid pada kem ini adalah 90%.

















Ahad, 4 Mac 2018

26.02.2018 : Taklimat VLE Ibu Bapa dan Penjaga bersama Unicliq

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Pada 26 Februari yang lalu, SKTDI telah menerima kunjungan daripada pihak Unicliq dan juga PKG Sabak Bernam. Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk melaksanakan taklimat berkenaan VLE kepada ibu bapa. Untuk pengetahuan semua, pada tahun ini, KPM telah bertindak memperkasakan VLE ke seluruh peringkat, tidak terkecuali ibu bapa dan penjaga.

Oleh itu, syarikat Unicliq telah bertanggungjawab melaksanakan tugasan ini dengan menyebar luas maklumat berkaitan VLE kepada ibu dengan target log in ibu bapa adalah sebanyak 33%. Bagi SKTDI, ibu bapa dan penjaga masih lagi kurang didedahkan dengan Frog Vle.