Khamis, 27 Julai 2017

Kelas Tambahan UPSR Tahun 6 Setiap Rabu

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pejam celik, pejam celik. Rupanya kita semakin hampir dengan hari peperiksaan UPSR sebenar. Oleh itu, kami telah merancang dan melaksanakan aktiviti kecemerlangan tahun 6. Bermula awal bulan Julai yang lalu, jadual kelas tambahan telah disediakan dan murid perlu menghadiri kelas tambahan pada setiap petang hari Rabu.

Semua guru panitia teras terlibat dalam membantu guru tahun 6. Murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang kecil. Objektifnya ialah guru dapat menjalankan aktiviti bimbingan per individu dengan lebih baik.




Jumaat, 14 Julai 2017

Ahli PPIM Kami Ke Peringkat Negeri Selangor

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah dan syukur kepada Allah di atas anugerah yang diperoleh oleh anak murid kami. Pada 8 Julai yang lalu, seorang ahli Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) SKTDI telah terpilih mewakili daerah Sabak Bernam ke peringkat negeri Selangor yang bertempat di Sekolah Agama Menegah Rawang, Selangor.

Tahniah kepada Nur Husna bin Mohd Farid (Tahun 6) kerana berjaya mengalahkan pesaing-pesaing yang lain dalam kategori Penulisan Buku Log PPIM. Untuk makluman pembaca, SKTDI merupakan johan PPIM di peringkat daerah. Pada kali ini di peringkat negeri, kami berjaya mengekalkan rentak itu. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Nur Husna.

Kami warga pendidik SKTDI sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak didik kami di pelbagai peringkat. Semoga usaha kalian semua tidak hanya berhenti di peringkat sekolah sahaja, malah perlu diteruskan hingga ke peringkat seterusnya.










Khamis, 13 Julai 2017

07.07.2017 : Hari Menandatangani Rekod Profil Murid 2017

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Pada hari Jumaat yang lalu bersamaan 7 Julai 2017, SKTDI telah dikunjungi oleh para ibu bapa yang hadir untuk menandatangani rekod profil anak masing-masing. Rekod profil yang dimaksudkan adalah rekod pencapaian anak-anak dalam peperiksaan pertengahan tahun 2017 yang lalu.

Para ibu bapa yang hadir telah bergerak ke kelas anak masing-masing. Mereka berjumpa dengan guru kelas dan pembantunya. Alhamdulillah, respons yang diterima oleh guru-guru mengatakan bahawa para ibu bapa pada tahun ini begitu mengambil berat akan perihal prestasi anak masing-masing. Pelbagai jenis cadangan yang dilontarkan kepada guru kelas agar anak-anak mereka bersedia untuk peperiksaan awam iaitu UPSR pada masa akan datang.

Harapan kami para guru adalah ingin melihat anak-anak didik kami sentiasa berada pada tahap prestasi yang baik dan seterusnya membanggakan nama ibu bapa, keluarga dan tidak lupa untuk sekolah. Kami meletakkan kemenjadian murid di tahap yang teratas.





Jumaat, 7 Julai 2017

Kami Sentiasa Bersedia! : Latihan Kebakaran Sekolah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


SKTDI telah pun melaksanakan satu daripada aktviti sekolah selamat iaitu Latihan Menghadapi Kebakaran di Sekolah. Semua warga sekolah tidak terkecuali daripada mengikuti latihan ini.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, kemalangan tidak boleh dijangka dan dipilih-pilih. Oleh itu, sebagai persediaan kami telah melaksanakan latihan kebakaran ini agar warga SKTDI sentiasa peka dan tahu dengan cara-cara menangani kebakaran dan juga cara menyelamatkan diri.

Kami telah pun berkumpul di lokasi yang telah ditetapkan iaitu di kawasan padang sekolah. Alhamdulillah, pada sesi latihan itu, tiada seorang daripada warga kami telah mengalami kemalangan kebakaran dan semuanya telah selamat. Walaupun begitu, terdapat juga beberapa aspek yang perlu diperhatikan dan diambil berat.

Penyelaras telah menegur sikap murid-murid yang tidak serius dalam menjalani latihan ini. Selain itu juga, pergerakan murid masih lagi berada dalam situasi yang agak kurang memuaskan walaupun murid berjaya berkumpul dalam tempoh masa kurang daripada 4 minit. Harapan SKTDI ialah pada sesi latihan lain, tempoh masa ini dapat diperbaiki dan keselamatan kami adalah 100%.











Terima Kasih Angkatan Pertahanan Awam Malaysia!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada 5 Julai yang lalu, SKTDI telah menerima kunjungan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Hal ini adalah rentetan daripada satu laporan yang dibuat oleh warga sekolah sendiri mengenai kehadiran reptilia berbisa yang sering kelihatan berada di dalam kawasan sekolah.

Reptilia yang dimaksudkan adalah 'ULAR'. Sebelum Hari raya Aidilfitri, warga sekolah ada melihat anak reptilia ini di dalam kawasan longkang sekolah. Dan pada hari ini, terdapat anak reptilia ini masih lagi berada di kawasan sekolah dengan saiz badannya yang lebih besar. Oleh itu, dengan tindakan pantas Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, sepasukan APM telah datang memeriksa kawasan yang disyaki habitat sementara reptilia ini.

Oleh itu, kami ingin menasihati murid-murid agar sentiasa berwaspada setiap masa kemungkinan kemalangan yang tidak diduga. Jika berlaku kemalangan, sila laporkan terus kepada guru bertugas dan pentadbir agar tindakan seterusnya dapat diambil.

Kami sangat berterima kasih kepada pasukan APM kerana telah datang memeriksa keselamatan sekolah kami. Semoga tuan/puan sentiasa diberikan kekuatan bagi menjalankan tugas yang murni ini. 

Reptilia yangdikesan berada di kawasan sekolah. 
Reptilia ini ditemui oleh murid sekolah.

Kehadiran pasukan APM yang datang memeriksa kawasan sekolah. Habitat sementara reptilia disyaki berada di bawah bangunan ini.