Rabu, 3 Mei 2017

MAJLIS PENYERAHAN TABLET GURU BERSAMA E-TUTOR & E-UTUSAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Pada 17 April 2017, daerah Sabak Bernam sekali lagi menjadi daerah pertama yang menerima Tablet Guru yang disertakan bersama dengan E-Tutor (tujuan pembelajaran) dan juga E-Utusan (Surat khabar digital) sebagai bacaan harian yang boleh dimuat turun seawal 5 pagi setiap hari. Pegawai kami yang terlibat menerima kesemua peranti ini adalah Cikgu Mohd Afiq bin Mohd Yusof, Guru Penyelaras Bestari dan juga guru pengiring iaitu Cikgu Wan Mohd Azsha bin Wan Ali di SAM Pasir Panjang, Sungai Besar.


Pada 19 April 2017 pula, satu majlis dan taklimat penggunaan Tablet Guru telah dijalankan di Pusat Sumber Sekolah. Semua guru telah hadir bagi mendengar taklimat yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Afiq. Dalam taklimat tersebut, beliau meingatkan guru agar dapat menggunakan tablet ini dengan semaksimum yang boleh kerana di dalam setiap tablet telah dipasangkan perisian yang bertujuan untuk pendidikan. 



Setelah kesemua guru jelas, tibalah masa yang dinantikan semua iaitu penyerahan tablet kepada setiap guru. Setiap guru perlu menurunkan tandatangan penerimaan dan juga bersetuju agar SAP bagi tujuan waranti disimpan bersama semua guru oleh Cikgu Afiq.




Selasa, 2 Mei 2017

SKTDI TEMPAT KE-3 BOLA SEPAK MSSD SABAK BERNAM

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Terlebih dahulu ucapan syukur, Alhamdulillah kerana SKTDI telah pun berjaya menempatkan diri ke pusingan separuh akhir. Walaupun tewas kepada SK Dr Abdul Latif, tetapi kami telah berjaya memperoleh tempat ketiga selepas mengalahkan SK Batu 38 dengan sepakan penalti.

Pada tahun ini, SK Seri Utama merupakan tuan rumah sukan Bola Sepak peringkat MSSD Sabak Bernam. Tambahan itu pula, padang sekolah kami turut dijadikan sebagai arena bagi melancarkan pertandingan pada tahun ini.



Pada peringkat kumpulan, kami bermula dengan jaringan seri menetang SRAI Batu 1 dan beberapa sekolah lain. Tetapi, laluan kami dipermudahkan Allah dan kami telah berjaya layak ke pusingan seterusnya. Tahniah dan syabas kepada pasukan bola sepak sekolah di atas pencapaian pada tahun ini. Sekalung terima kasih kepada barisan jurulatih yang diketuai oleh Cikgu Muhammad Fitree bin Mohd Fuhaad dan Ustaz Saiful Azlan bin Tarli atas komitmen yang ditunjukkan sehingga melonjak nama SKTDI ke tahap ini. 


Pada tahun ini, tuan rumah telah berjaya mendapatkan tajaan daripada Bank Kerjasama Rakyat, Bank Rakyat sebagai penaja sukan pada kali ini. Untuk pengetahuan semua, tempat pertama dan kedua mendapat hadiah istimewa daripada Bank Rakyat iaitu hadiah sepasukan jersi bola. Manakala tempat ketiga, kami membawa pulang beg sekolah yang cantik turut disumbangkan oleh Bank Rakyat. Sekali lagi terima kasih.

Tempat pertama : SK Dr Abdul Latif
Tempat kedua : SK Seri Bahagia
Tempat Ketiga : SK Tun Dr Ismail
Tempat keempat : SK Batu 38







dan, pada 7 Mei, sekolah menerima mesej Whatapps bahawa foto Kejohanan Bola Sepak MSSD Sabak Bernam telah terpampang di dada akhbar Metro Ahad. Tahniah diucapkan.

KEM MEMBACA 1MALAYSIA DI SKTDI

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Pada tahun ini, salah satu aktiviti tahunan yang perlu dilaksanakan ialah Kem Membaca 1Malaysia. Semua sekolah di Malaysia perlu menjalankan aktiviti ini dan pada 3 April yang lalu SKTDI telah pun melancarkan KM1M ini di dataran perhimpunan pagi. Semua guru dan murid terlibat dalam menjayakan majlis ini.


Majlis ini dimulakan dengan ucapan oleh Guru Penolong Kanan 1, En. Khaire bin Md Zen. Dalam ucapan beliau ada mengingatkan murid agar amalan membaca dijadikan sebagai satu budaya sekolah di mana ianya merupakan satu usaha dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Beliau turut menyeru agar murid-murid dapat terus membaca buku kerana cabaran pada hari ini adalah bersaing dengan dunia digital terutamanya telefon pintar yang menghanyutkan murid-murid. Beliau menyarankan agar murid-murid dapat menggunakan telefon pintar dengan sebaiknya dalam menerokai ilmu baru.

Majlis diteruskan lagi dengan upacara perasmian. Tuan Guru Besar, Tn Haji Mohd Khamsani bin Bahrun telah menarik jatuh gegantung sebagai simbolik bahawa KM1M telah pun bermula secara rasminya di Sekolah Kebangsaan Tun Doktor Ismail.