Selasa, 30 Januari 2018

29.01.2018 : MESYUARAT AJK PIBG BIL 1 TAHUN 2018

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada 29 Januari bersamaan hari Isnin yang lalu, satu mesyuarat telah dijalankan di antara dua pihak iaitu pihak sekolah dan ibu bapa. Sudah semestinya mesyuarat yang dimaksudkan adalah mesyuarat AJK PIBG bilangan 1 bagi tahun 2018. Untuk pengetahuan semua, Setiausaha Agung untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru bagi sesi 2017 dan 2018 ini adalah Puan Rafidah binti Othman.

Mesyuarat telah dimulakan pada pukul 3 petang di Bilik PAK 21 SK Tun Doktor Ismail. Isu yang dibincangkan adalah mengenai mesyuarat agung PIBG yang akan dijalankan pada bulan Februari nanti. Alhamdulillah, kerjasama yang ditunjukkan oleh AJK yang terdiri daripada ibu bapa adalah sangat memberansangkan. Terdapat pelbagai hal baru yang menarik perhatian YDP PIBG kami iaitu En. Khairul Azman bin Abdul Hamid untuk dibincangkan. Banyak maklumat tambahan dan kata sepakat dapat dicapai sepanjang mesyuarat ini berlangsung.

Mesyuarat kami pada kali ini menggunakan pelantar maya Frog VLE.








Isnin, 29 Januari 2018

24.01.2018 : LAWATAN PEMANTAUAN ICT DAN BILIK PAK 21 OLEH PKG SABAK BERNAM

Asalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada 24 Januari yang lalu bersamaan hari Rabu yang lalu, pegawai daripada PKG Sabak Bernam telah datang berkunjung ke SKTDI bagi menjalankan pemantauan ICT berhubung Instrumen Khidmat Bantu Bersepadu tahun 2018. Lokasi yang dituju adalah Makmal Komputer, Bilik Akses dan juga Bilik PAK 21.



Pegawai PKG yang datang ke SKTDI diketuai oleh En Ahmad Radzuan Bin Haji Idris. Pemantauan yang dijalankan adalah mengenai ICT, Frog VLE dan juga capaian kelajuan ZOOM internet sekolah. Selain itu, pemantauan mengenai PSS turut dijalankan oleh pegawai lain di pusat sumber.

Hasil daripada pemantauan itu, pihak sekolah dicadangkan agar sentiasa memantau dan menghantar laporan capaian internet kepada heldesk 1bestarinet dengan segera bagi memastikan kualiti internet yang diterima sentiasa mencapai tahap optimum.

Pada lokasi lawatan yang seterusnya adalah Bilik PAK 21 kami. Alhamdulillah, kami menerima maklum balas positif dan nasihat yang membina daripada pegawai PKG. Beliau turut mencadangkan agar dapat dinaik taraf kemudahan ICT di dalam Bilik PAK 21 seperti kemudahan televisyen yang boleh menjadi tempat murid merujuk info semasa bagi mendapatkan maklumat tambahan. Insyallah, kami akan berusaha menyediakan kemudahan seperti yang dimaksudkan untuk anak-anak murid SKTDI. 

26.01.2018 : WAKIL SKTDI DI MERENTAS DESA MSSD SABAK BERNAM 2018

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada 26 Januari 2018 bersamaan hari Jumaat yang lalu, pasukan elit sukan merentas desa SKTDI telah berkunjung ke SBPI Sabak Bernam untuk bertanding di peringkat daerah Sabak Bernam. Semua sekolah daerah sabak bernam berkumpul di sana bagi menyertai kejohanan ini.

Tenaga diguna dan keringat diperah membasahi baju menandakan usaha anak-anak SKTDI pada tahap kemuncak bagi cubaan menempatkan diri dalam kelompok yang terhebat daerah. Walaupun begitu, rezeki tidak menyebelahi kami, peserta pertama SKTDI yang tiba di garis penamat pada tempat ke-38 bagi kategori perempuan dan ke-54 bagi kategori lelaki.

Tahniah dan syabas kepada anak-anak SKTDI kerana menunjukkan kesungguhan dalam bidang sukan. Tidak dilupakan kepada pemenang dan juga wakil daerah yang berjaya dalam kejohanan ini. Harumkan nama Sabak Bernam pada tahun 2018 ini.











Ahad, 28 Januari 2018

22.01.2018 : TUAN RUMAH KEJOHANAN SEPAK TAKRAW MSSD SABAK BERNAM

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada 22 dan 23 Januari 2018, SKTDI telah menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Sepak Takraw MSSD Sabak Bernam. Kejohanan kali ini telah berlangsung di dewan terbuka SMK Seri Bedena, Sungai Besar dan diurus sepenuhnya oleh guru-guru SKTDI di bawah pimpinan PK Kokurikulum, Pn Norazizah binti Othman dan juga Guru Sukan kami, En Iqbal bin Mahpod.

Ini merupakan pengalaman pertama bagi semua pegawai yang terlibat bagi sukan ini. Sebelum ini, kami telah ditugaskan sebagai pengelola sukan Bola Sepak daerah pada dua tahun yang lalu. Alhamdulillah, perjalanan sepanjang kejohanan sepak takraw pada tahun ini berjalan dengan lancar. Pengalaman tidak boleh dijual beli selagi tidak berhadapan dengannya!

Untuk pengetahuan semua, sepak takraw bukanlah sukan yang begitu dititik beratkan di SKTDI. Namun, atas semangat sukan 1Murid 1Sukan, sekolah telah berjaya menubuhkan 2 pasukan regu yang dipimpin oleh guru berpengalaman luas dalam sepak Takraw iaitu En Salihin bin Sanusi.

Pada majlis penutupan kejohanan, Tuan Guru Besar SKTDI, En. Mohd Khamsani bin Bahrun telah pun merasmikan penutupan kejohanan sepak takraw pada tahun ini.

Untuk maklumat semua, kita berjaya melayakkan diri ke peringkat kedua, suku akhir sebelum tewas kepada pihak lawan. Walaupun tewas, kami turut menerima 'signal' untuk terus menghantar wakil dalam kejohanan ini pada tahun hadapan.
































Sabtu, 27 Januari 2018

02.01.2018 : MINGGU TRANSISI TAHUN 1 2018

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Setiap tahun pastinya sekolah akan menyambut ketibaan murid tahun 1 yang baru mendaftar. Murid-murid ini akan menjalani satu minggu penyesuaian budaya dan suasana sekolah rendah. Sebelum ini, murid sudah terbiasa dengan gaya pembelajaran prasekolah mahu pun tadika atau pun di pusat pengajaran yang lain. Oleh itu, minggu ini dinamakan sebagai Minggu Transisi Murid Tahun 1 agar murid dapat menjalani pengajaran dan pembelajaran di SK Tun Doktor Ismail dengan selesa tanpa rasa bimbang dan takut.

Pada 2 Januari 2018, murid tahun 1 akan dikumpulkan terlebih dahulu. Murid akan berkenalan dengan guru dan rakan-rakan yang lain. Selain daripada itu, murid turut membiasakan diri dengan lokasi-lokasi penting di sekolah seperti bilik guru, pejabat, tandas dan lain-lain lagi. Guru bagi setiap subjek akan masuk ke dalam kelas dan memulakan proses Taaruf, sesi suai kenal. 

Majlis Minggu Transisi Murid Tahun 1 disempurnakan oleh tuan Guru Besar, Tn Hj Mohd Khamsani bin Bahrun.





Khamis, 18 Januari 2018

17.01.2018 : KEJOHANAN MERENTAS DESA PERINGKAT SEKOLAH 2018

Asalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada hari Rabu, 17 Januari 2018, aktiviti kokurikulum peringkat sekolah telah dimulakan dengan Kejohanan Merentas Desa peringkat SK Tun Dr Ismail yang berlangsung pada pukul 3.30 petang. Alhamdulillah, tiada masalah yang berlaku sepanjang kejohanan ini berlangsung.

Pada pukul 3.30 petang, murid bersama-sama melakukan aktiviti memanaskan badan bersama penyelaras kejohanan iaitu Ustaz saiful Azlan. Apabila peserta sudah merasa sedikit kehangatan pertandingan, peserta perempuan dilepaskan terlebih dahulu. Pelepas kejohanan disempurnakan oleh PK Pentadbiran iaitu Cikgu Husni bin Harun. Selang 10 minit kemudian, beliau turut melepaskan peserta lelaki.

Menurut penyelaras kejohanan, trek laluan merentas desa yang diguna pakai pada tahun ini adalah berjarak 4.3 kilometer mengelilingi kampung Tebuk Pulai. Alhamdulillah, semua peserta berusaha merebut tempat penamat yang menawarkan sehingga 15 medal kejohanan bagi setiap kategori lelaki dan perempuan. Syabas kepada anda semua.

Selepas penat berusaha menamatkan larian, akhirnya kita sampai ke acara kemuncak iaitu majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang. Majlis ini telah disempurnakan oleh PK Kurikulum kami iaitu Cikgu Norazizah.