Sabtu, 30 Disember 2017

26.12.2017 : MESYUARAT GURU DAN PANITIA PERTAMA 2018

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Sebagai persiapan menghadapi tahun baru 2018, pihak pentadbir SKTDI telah merancang agar diadakan satu mesyuarat bagi menyebarkan maklumat penting kepada semua guru dan staf. Pada 26, 27 dan 28 Disember semua guru dan staf perlu hadir bagi menghadiri mesyuarat tersebut.

Pada 26 Disember, agenda dimulakan dengan mesyuarat Guru dan Staf dan diikuti pula seterusnya dengan mesyuarat Kurikulum, Hal Ehwal Murid dan juga Kokurikulum. Sebelum mesyuarat dimulakan, semua ahli berkumpul di surau SKTDI bagi mendirikan solat sunat dhuha, bacaan Yaasin dan juga mendengar ceramah motivasi yang disampikan oleh Ustaz Rafiq.



Pada keesokan harinya, 27 Disember, mesyuarat panitia telah dijalankan dan diikuti pula mesyuarat Tahun 6 pada 28 Disember. Alhamdulillah, semua mesyuarat yang dirancang berjalan dengan baik dan lancar.





Khamis, 28 September 2017

27.09.2017 : JOHAN SHIELD KATMO RAGBI RIMAU

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Pada 27 September yang lalu, SKTDI telah menghantar satu pasukan ragbi bawah umur 11 tahun bagi mewakili kejohanan Katmo Ragbi Rimau bagi peringkat daerah Sabak Bernam untuk tahun 2017. Venue bagi kejohanan ini telah berlangsung di SK Seri Utama, Sungai Besar.

Seramai 10 buah pasukan telah mengambil bahagian dalam kategori ini. Tidak ketinggalan bagi Sk Tun Doktor Ismail. Kami turut menghantar 12 orang pemain ragbi cilik yang terdiri daripada 3 orang murid tahun 5 dan 9 orang murid tahun 4.

Untuk makluman semua, tahun ini merupakan tahun pertama SKTDI menghantar pasukan ragbi. Menurut kata Ketua Jurulatih Ragbi SKTDI, iaitu En Iqbal bin Mahpod, pasukan ragbi ini masih dalam proses pembangunan dan insyallah, hasil terbaik akan diperoleh pada tahun 2019 nanti apabila pasukan ini menjangkau usia 12 tahun. 

Dalam kejohanan tersebut, SKTDI telah berjaya mengalahkan SK Tok Khalifah dengan mata sebanyak 15-0. Alhamdulillah, kami amat bersyukur dan ini merupakan pengalaman pertama bagi kami. Kami telah dinobatkan sebagai Johan bagi kategori Shield.













Sabtu, 16 September 2017

15.09.2017 : MAJLIS PENUTUP BULAN KEMERDEKAAN PERINGKAT SK TUN DOKTOR ISMAIL

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Pada 15 September yang lalu, telah berakhirnya Majlis Penutup Hari Kemerdekaan peringkat SK Tun Doktor Ismail yang dianjurkan oleh Panitia Sejarah di bawah kelolaan Cikgu Jamilah binti Badri. Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar dan yang paling penting ialah setiap warga sekolah dapat menghayati erti kemerdekaan dan juga cara mengekalkan nikmat ini yang sedang dikecapi pada hari ini.



Terdapat 4 jenis pertandingan yang dianjurkan sepanjang bulan kemerdekaan yang lalu.
Yang pertama adalah pertandingan nyanyian lagu patriotik.
Yang kedua adalah pertandingan mewarna dan melukis poster.
Yang ketiga adalah pertandingan mendeklamasikan sajak
dan yang terakhir adalah pertandingan memperaga pakaian kemerdekaan.

Tahniah dan syabas kepada pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Semoga murid-murid SKTDI terus ke arah kecemerlangan.

Di bawah ini disediakan gambar semasa pertandingan berlangsung sepanjang bulan kemerdekaan dan juga gambar semasa majlis penutup.





















Rabu, 6 September 2017

05.09.2017 : PROGRAM BACAAN YASIN DAN SOLAT HAJAT SEMPENA UPSR 2017

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kredit gambar : http://sempoigilaa.blogspot.sg/2012/10/panduan-solat-hajat.html

5 September yang lalu, Jawatankuasa kecemerlangan Tahun 6 telah pun mengadakan Program Bacaan Yasin dan Solat Hajat sempena peperiksaan UPSR yang bakal menjelang pada 11 September nanti.

Surat jemputan telah pun diedarkan kepada setiap ibu bapa sebelum cuti sekolah baru-baru ini. Alhamdulillah, kehadiran ibu bapa pada malam tersebut sangat memuaskan. Semoga usaha yang dijalankan oleh pihak sekolah diberkati dan dimaqbulkan oleh Allah.

Program bermula pada pukul 7:10 malam dengan sesi pendaftaran. Selepas itu, hadirin mendirikan solat maghrib, solat hajat, solat isyak dan juga dengan bacaan yasin. Selepas itu, majlis diteruskan dengan ucapan Guru besar dan juga sesi bersalam bersama ibu bapa dan guru-guru. 

kami warga pendidik berdoa agar kecemerlangan mengiringi setiap calon UPSR pada tahun ini. Setiap usaha yang dilakukan daripada mula hingga kini diberkati dan dirahmati Allah. Semoga Allah membantu kami memperoleh keputusan yang cemerlang.